Tuhan.
Secebis luka mana kita letak untuk Tuhan bebat, seperti itu juga kita biar luka sembuh dan biar platlet mengganti resah yang hilang.
Masih segar di ingatan, dalam perbualan di telefon dengan kakak sewaktu aku memilih kembali ke Kota Bharu, meneruskan pengajian di Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu lantas meninggalkan titik yang aku cuba bina di Maahad Amir Indera Petra.
Kata dia,
"yakinlah. Ada ibrah dari Tuhan, yang mahu dia tahu kau tahu adik. Positif saja, ini jalan yang dia pilih untuk kau lalui",.
Benar, hanya dua tahun di sana. Ibrah dari Tuhan terlalu menggunung. Walau aku lemas dalam peperangan sendiri-aku tidak rebah dengan mudah. Menjadi naqibat, sedang diri hanyut dalam kecelaan. Namun, tidak jemu tarbiah ditusukkan. Tidak jemu nasihat dicurahkan dan berlari ke daerah paling sunyi. Aku yang ternoda dalam kalangan manusia-manusia suci, tampak juga suci pada wajah mereka.
Aku tutup kisah di sana. Yang ditamatkan secara sendiri dalam takdir yang harus ditempuh. Benar, setelah habis spm aku putuskan. Tidak mahu lagi menyarung baju sekolah. Ralit aku biarkan jemariku mengisi UPU, permohonan untuk ke universiti. Masih ingat lagi, PPUM ada menawarkan sesiapa sahaja yang mahu menyertai mereka. Sebagai jururawat atau radioterapi.
UPU, hanya segunung tewas dan hampa. Aku lemah sendiri, kecewa. PPUM juga, aku tangis menyesali apa yang aku tidak dapat. Malu dan terasa diri terlalu kerdil di hadapan manusia dan Tuhan. PPUM, penat aku berlari mencari waktu. Korbankan apa yang harus dikorbankan, sehingga nun di Kl aku pergi semata-mata pengharapan.
Salah aku cuma satu, mereka mahu aku berbahasa inggeris sedang aku tahu-kemampuan aku bagaimana. Benar, aku memperoleh B+ bagi matapelajaran tersebut namun tatabahasa aku kurang. Perkataan dan perkataan dalam bahasa juga kurang. Dan langsung, keyakinan itu hilang. Ke tahap paling rendah, kerana
Ketidaksempurnaan itu. Gagal juga dalam PPUM.
Lantas, aku nekad. Pulang dan meneruskan pengajian di Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu, meneruskan apa yang aku pernah tolak. Sains ya sains, yang aku mahu buang dari kisah hidup. Nyata, perancangan Tuhan itu indah. Terlalu banyak manfaat dan bahagia yang aku temui di sana.
Tiga tahun berperang, alhamdulillah. Keyakinan untuk berbahasa inggeris mendadak ke tahap agak tinggi-ketika diperlekeh sesetengah orang tentang kemampuan sendiri. Aku buktikan pada keputusan MUET. Rezeki itu setelah yang lain rata-rata mendapat band standard orang melayu dan aku agak tinggi dari mereka. Alhamdulillah, syukur-teramat syukur untuk itu.
Hujung November ini, aku akan menyarung jubah itu. Tepat pada waktunya, menghabiskan pengajian. Dan hujung minggu ini, ada temuduga dengan SPA. moga diberi kelancaran segalanya.
Mengapa harus menidakkan perancangan Tuhan dan pengaharapan orang tua? Langkah saja, pijak saja setelah ada restu di situ.
Pergi saja. Moga dipermudahkan urusan
No comments:
Post a Comment